Tekong 19 tahun mahu ubah persepsi 

Oleh Shaiful Shamsudin 20 Julai 2020 3179
Tekong 19 tahun mahu ubah persepsi 
Di kala Malaysia masih mencari siapa tekong nombor satu negara, kini muncul seorang pencabar baru yang baru berusia 19 tahun, Zarif Marican Ibrahim Marican.

Menurut wartawan Nadi Arena, Adam Zamri, Zarif Marican menanam impian untuk membina legasi sendiri dan merampas kedudukan itu dalam memacu Malaysia untuk menumbangkan gergasi sepak takraw, Thailand, suatu hari kelak. 

Kehadiran Zarif Marican dalam kem kebangsaan pada awalnya kurang disenangi dan mencetuskan kontroversi memandangkan dia masih muda dan tidak berpengalaman luas di pentas antarabangsa.

Pemain kelahiran Permatang Pauh itu merupakan antara lima tekong yang dipanggil melaporkan diri di samping 10 pelatih skuad elit dalam kem negara yang lain ketika ini.

"Perbezaannya memang ketara.

"Kalau bermain dalam kalangan rakan sebaya, kegugupan itu kurang tetapi di peringkat tinggi pula, semua rakyat tertumpu kepada kami. 

"Sebagai pemain, saya perlu tunjukkan kebolehan," katanya di Bukit Jalil.





Namun, dia tidak mudah untuk tunduk sambil cuba menangkis persepsi negatif itu dan bersedia mengggalas tanggungjawab besar dengan membuktikan servisnya juga berkualiti seperti pemain kebangsaan lain.

Lantaran itu, dia sedia memberikan saingan sengit untuk tiket ke Sukan SEA Vietnam 2021. 

"Saya menghormati pemain lebih senior. 

"Mereka juga pernah menempuhi jalan yang sama sebagai pemain baru.

"Jadi saya perlu 'pulun' dalam latihan untuk mencapai tahap seperti mereka," katanya lagi. 

Masih belum pasti sama ada khidmat Syahir Rosdi dan Zulkifli Abd Razak akan diserap semula memandangkan mereka masih perlu melalui sesi pemilihan semula apabila saingan Liga Sepak Takraw (STL) bermula September depan. 

"Peranan tekong amat besar kerana perlawanan berpunca daripada tekong. 

"Kalau tekong main cantik, maka kami boleh menang permainan itu. 

"Tetapi dia masih muda, masih banyak pengalaman yang perlu dikutipnya tetapi siapa tahu, satu hari kelak dia mampu ganti tempat Syahir," kata seorang lagi tekong negara, Said Ezwan Said De. 
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen