Regu Tanah Merah A jelas berada dalam kelas tersendiri apabila muncul juara dengan mengalahkan Kuala Krai A 2-1 dalam aksi sengit final bawah 11 tahun Kejohanan Sepak Takraw Luar Musim Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kelantan (MSSK) di Wisma Sukan, Jalan Telipot, Kota Bharu, petang tadi.

Tanah Merah A yang diwakili Muhammad Hazim Imran Herman, Muhammad Haikal Md Razalli dan Muhammad Haikal Ashraf Azih bermula garang dengan memenangi set pertama 21-18.

Dalam set kedua, Kuala Krai A yang menurunkan Muhammad Nazif Ismanto Pohmaeressor, Hafizudin Abu Hassan dan Nik Samsol Nik Lah mula bangkit untuk menang 21-16, sekaligus mengheret permainan ke set penentuan.

Tanah Merah A yang dahagakan kejuaraan bermula baik dan meninggalkan lawan 10-4 sebelum servis tekong, Muhammad Hazim, terus menjadi untuk menang 15-8 dalam set penentuan.

Pengurus Tanah Merah A, Ahmad Fakhrurazi Mohamad Nawawi, jelas gembira dengan kemenangan ini dan menyifatkan ia petanda baik menjelang Kejohanan Sepak Takraw MSSK, Februari depan.

"Terima kasih kepada semua jurulatih dan pemain. Alhamdulillah, berkat kerja keras kami berjaya menguasai saingan B-11 ini.

"Ini petanda baik kerana pemain yang sama akan mewakili Tanah Merah untuk B-12 dalam kejohanan negeri nanti,” katanya.

Terdahulu, dalam laluan ke final, Tanah Merah A menumpaskan regu Machang A, 2-1 ( 21-18, 15-21, 15-13), manakala Kuala Krai A membuat kejutan menyingkirkan Machang B, 2-1 (21-13, 12-21, 15-11).

Pengerusi Teknik Sepak Takraw Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM), Roslin Hamzah, menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Turut hadir, Penyelaras Sukan Unit Sukan JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) Kelantan, Mazlan Omar.