Tekong Kl Thunder, Syahir Rosdi, sedia memberikan persembahan terbaik menjelang aksi pembukaan Liga Sepak Takraw (STL) berdepan Kelantan Warriors yang bakal bermula Jumaat ini.

Bebas daripada penggantungan sebarang aktiviti sepak takraw, tekong skuad kebangsaan itu mengambil keputusan berhijrah dari Penang Black Panther untuk mencuba angin baru dengan memperkuatkan skuad KL Thunder.

Tatkala Syahir yang sekadar menyaksikan saingan STL musim lalu, mengakui sedikit tumpul daripada persembahan terbaiknya selepas kekurangan aksi kompetitif ekoran pandemik Covid-19 sebelum ini.

"Sejujurnya, saya sendiri berasakan kurang bersedia untuk kembali ke gelanggang dan menampilkan aksi terbaik, kerana sebelum ini telah digantung selama sembilan bulan, ditambah pula dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dengan keseluruhannya hampir setahun tidak beraksi," kata Syahir yang berbincara menerusi PM bersama AM.

"Berdepan Kelantan Warriors ini agak membimbangkan ditambah pula dengan tidak mengetahui kemampuan pasukan lawan."

KL Thunder merupakan antara pasukan yang sentiasa kekal kompetitif dalam divisyen perdana dan kehadiran Syahir serta perejam, Azlan Alias, bakal meningkatkan lagi peluang mereka untuk muncul juara musim ini.

"Buat KL Thunder, saya akan cuba melakukan yang terbaik jika diberikan peluang untuk beraksi. Saya memberikan jaminan bahawa saya tidak akan berputus asa," katanya lagi.

Apabila ditanya dengan kemampuan KL untuk bergelar juara, ringkas jawapan Syahir, "Boleh."

Saingan STL musim 2020 bakal berlangsung di Stadium Titiwangsa dengan tanpa kehadiran penonton, anda boleh menyaksikan perlawanan menerusi Astro Arena HD Saluran 802.