Tekong Penang Black Panthers, Muhammad Syahir Rosdi, enggan dibuai gelaran tekong terbaik negara biarpun membantu pasukannya muncul johan Piala Juara-Juara Liga Sepak Takraw (STL) 2017, sambil perejam Perak Bison, Fadzil Mustafa, menganggap pasukannya sudah memberikan tentangan sengit dalam perlawanan akhir.

Syahir membentuk rangkaian mantap bersama perejam, Azlan Alias dan apit kiri, Farhan Adam, untuk memacu kejayaan Black Panthers merangkul Piala Juara-Juara STL 2017 buat kali pertama.

Lebih manis, dia turut dinobatkan sebagai tekong terbaik dan pemain paling bernilai (MVP) dalam kejohanan ini.

Namun, ia bukanlah satu penanda aras buat Syahir, yang lebih dahagakan kejayaan bermakna beraksi di peringkat antarabangsa.

"Secara peribadi, saya mahu mendapatkan pencapaian yang lebih tinggi selepas ini. Piala Raja Thai menjadi sasaran dan ia adalah satu tugasan yang mencabar bagi saya," kata Syahir.

Biarpun tewas, Perak Bison juga masih boleh berbangga dengan pencapaian mereka musim ini selepas beraksi dalam Divisyen 1 tahun lalu.

Tambahan perejam mereka, Fadzil Mustafa, dinobatkan sebagai perejam terbaik kejohanan.

Ia pengubat duka buat Fadzil yang sebelum ini dia terpaksa berehat panjang gara-gara terlibat dengan kemalangan jalan raya sehingga terlepas untuk beraksi bersama skuad kebangsaan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos lalu.

"Saya sangat bersyukur dengan rezeki ini. Saya berharap dapat meneruskan momentum ini dan bermain dengan lebih baik lagi pada tahun depan," kata Fadzil.