Tekong utama kebangsaan, Syahir Rosdi, berazam mempamerkan aksi lebih baik dalam usaha membantu Penang Black Panthers memusnahkan rekod tanpa kalah Terengganu Turtles dalam saingan menarik Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, malam esok.

“Satu pertarungan yang dijangka menarik. Mereka (Terengganu Turtles) ingin kekalkan rekod tanpa kalah tetapi kami ingin tebus balik kekalahan dalam pusingan pertama dan kukuhkan kedudukan ke separuh akhir.

“Saya berjanji akan mempamerkan aksi lebih baik dengan berharap rakan sepasukan mengurangkan kesilapan mudah untuk cuba mengalahkan Terengganu dalam pusingan kedua ini,” katanya.

Ditanya kemungkinan Pulau Pinang mendapat sedikit kelebihan apabila Terengganu Turtles turun tanpa perejam utama, Fadzli Roslan, Syahir enggan mengakuinya kerana Kamal Alfiza Shafie juga dianggap sebagai pelibas berbakat dan kombinasi mereka terbukti apabila mengalahkan ATM Guardians 2-1 dalam aksi sengit.

“Terengganu Turtles bukan hanya bergantung kepada pelibas, Fadzli Roslan, sebaliknya mereka mantap di semua posisi.

"Tengok bagaimana penggantinya, Kamal Alfiza, yang sentiasa memberi aksi terbaik sepanjang ketiadaan Fadzli. Tekong mereka, Zulkifli Razak juga semakin menjadi dan dipilih sebagai pemain terbaik minggu ketujuh.

“Insya-Allah, saya yakin kami mampu memberi saingan dan muncul sebagai pasukan pertama mengalahkan Terengganu dalam saingan STL musim ini,” katanya.

Untuk rekod dalam pusingan pertama STL, Terengganu Turtles menjinakkan Panthers 21-16, 14-21, 21-19 dalam pertembungan buku dengan ruas pusingan pertama STL pada 11 November lalu.