Bekas tekong utama skuad sepak takraw negara, Syahir Rosdi, terus mencetus kontroversi apabila mengingkari sekatan yang dikenakan oleh Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dengan beraksi dalam Kejohanan Piala Datuk Bandar di Hatyai, Thailand, yang berakhir semalam.

Pemain itu tidak dibenarkankan untuk terlibat dalam sebarang aktiviti sepak takraw ekoran kes disiplin yang membawa kepada penggugurannya daripada skuad kebangsaan.

Namun, kelibatnya dilaporkan menyertai kejohanan itu dengan mewakili pasukan ISTC Pulau Pinang.

Sebelum ini, Syahir dilarang untuk menyertai kejohanan tempatan seperti Piala Emas Khir Johari dan Kejohanan Sepak Takraw Majlis Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK).

"Mana-mana pemain yang hendak bermain di luar negara harus mendapatkan kebenaran daripada PSM dulu.

"Baik pemain ataupun kelab yang nak beraksi di luar negara, harus mendapatkan kelulusan PSM sebagai badan induk sepak takraw dalam negara," kata Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail, ketika dihubungi hari ini.

PSM kini sedang mendapatkan laporan penuh tentang tindakan itu, yang dianggap melanggari perlembagaan badan induk berkenaan.

Selain Syahir, rakan sepasukannya, Zulkifli Abdul Razak, juga turut digantung sejak 26 Jun lalu dan sedang menantikan masa untuk berdepan Jawatankuasa Tatatertib PSM.

"Pengerusi jawatankuasa tatatertib sudah berada di Malaysia, Insya-Allah surat Syahir akan keluar pada minggu ini.

"Surat tunjuk sebab kepada Syahir dan Sobey (Zulkifli) akan keluar minggu ini," katanya lagi.