Dengan sasaran untuk memenangi emas acara sepak takraw lelaki Sukan Malaysia (Sukma) di Ipoh tahun depan, Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS) telah mengambil langkah drastik dengan membawa masuk jurulatih dari Thailand untuk membentuk pasukannya.

Presidennya, Tan Sri Abang Khalid Marzuki, berkata, jurulatih itu akan diberi kebebasan untuk membentuk dan melatih pasukan asalkan objektif pingat emas tercapai.

"Kami telah berunding dengan pihak Majlis Sukan Negeri Sarawak berhubung hasrat ini dan mereka memberi sokongan serta isyarat yang positif," katanya ketika ditemui di Kuching, semalam.

Tokoh korporat terkemuka Sarawak itu berkata ketika ini pihaknya masih memilih siapa calon yang sesuai untuk tugasan itu daripada tiga yang telah disenaraipendekkan.

"Setelah kami membuat keputusan, kami akan majukan namanya kepada MSNS untuk proses dokumentasi.

"MSNS yang akan membiayai dan membayar gajinya," katanya lagi.

Ketika ini, jelasnya, PSS sedang memberi tumpuan kepada pencarian bakat selain melahirkan jurulatih-jurulatih bertauliah.

"Ini termasuk menganjurkan kursus kejurulatihan yang sedang rancak berlangsung di Saratok ketika ini," ujarnya.

PSS juga akan menganjurkan kejohanan ‘Road to SUKMA’ pada 23 dan 24 Disember ini, yang menjadi gelanggang pencarian bakat serta pemilihan pemain untuk mewakili Sarawak dalam Sukma 2018 dan 2020.