Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (SUKMA) untuk kembali mempertandingkan tiga sukan teras pada edisi September depan disambut baik Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu (PSNT).

Bagi Presiden PSNT, Mohd Shapian Ali, pengumuman itu adalah langkah yang tepat walaupun acara sepak takraw, taekwondo dan angkat berat hanya disenaraikan sebagai sukan pilihan.

Bekas timbalan presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) itu turut menyifatkan masanya sudah tiba untuk mengangkat semula martabat sukan tradisi itu ke peringkat tertinggi.

“Hasil mesyuarat itu sememangnya dinantikan kerana selepas digugurkan, PSNT tidak pernah berhenti membangunkan sukan sepak takraw di negeri ini dengan bantuan Majlis Sukan Negeri (MSNT).

“Persiapan kami juga sudah memasuki fasa akhir dengan siri latihan dan kejohanan di luar negara. Jadi, sudah tentu ini akan memberi semangat baru kepada atlet-atlet,” ujarnya.

Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, semalam bersetuju untuk kembali mempertandingkan tiga sukan itu dalam SUKMA Ke-19.

Untuk rekod, sukan sepak takraw, taekwondo dan angkat berat telah digugurkan daripada Program Majlis Sukan Negara (MSN), Disember lalu, gara-gara masalah prestasi.