Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) enggan duduk semeja dengan Majlis Sukan Negara (MSN), sebaliknya berkeras mahu mengadakan perjumpaan dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, bagi membincangkan pengguguran sukan itu daripada senarai sukan teras.

Keputusan itu sepakat diputuskan ahli majlis tertinggi dan exco PSM selepas bersidang hampir empat jam dalam satu mesyuarat khas, malam tadi.

Mereka bertegas mahu mengadakan pertemuan empat mata dnegan Khairy bagi menerangkan kedudukan dan perkembangan sebenar hal dalaman dan pembangunan yang dijalankan badan induk itu.

Di pihak PSM, mereka tetap dengan pendirian itu kerana mahu memastikan sukan sepak takraw dipertandingkan dalam Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018.

"Kami tidak berhasrat untuk membuat sebarang rayuan kerana kami berasakan tidak ada alasan untuk sepak takraw digugurkan daripada sukan teras, lebih-lebih lagi dalam Sukma," kata Presiden, Datuk Seri Ahmad Ismail.

Timbalan Presiden, Datuk Akramuddin Abd Aziz, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan PSM, menjelaskan mereka sudah pun mengelolakan sebanyak 23 kejohanan sepak takraw di dalam negara, tidak termasuk saingan Liga Sepak Takraw (STL).

"Kalau tidak terbaik, bagaimana kami baru sahaja selesai mengadakan kursus kejurulatihan dua hari lepas?

"Ini menunjukkan pembangunan itu memang ada. Pada tahun ini, kami menganjurkan 23 pertandingan. Carilah kalau ada mana-mana persatuan yang berjaya melakukan seperti itu. Adakah ini menunjukkan kami tiada pembangunan?" kata Akramuddin.