Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bermain perang psikologi dengan tidak mendedahkan senarai 21 pemain yang akan mengibarkan cabaran negara dalam Sukan SEA, Ogos depan.

Perkara itu menimbulkan persoalan dalam kalangan pemain sendiri sekalipun PSM dilaporkan sudah menghantar senarai akhir pemain kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada 30 Jun lalu.

Ia turut melahirkan rasa debar di hati 24 pelatih dalam kem kebangsaan ketika ini.

Persaingan paling ketara, siapa akan dipilih untuk menggalas tanggungjawab sebagai perejam utama?

"Memang saya berdebar sebab kita juga adalah tuan rumah. Kalau ada rezeki nama saya disenaraikan, saya akan buat yang terbaik untuk negara," kata pemain, Azlan Alias.

"Sebenarnya, tugas ini memang berat tetapi dengan latihan yang keras dan selalu memperbaiki kelemahan, insya-Allah kami boleh meraih emas," kata seorang lagi pemain, Mohd Khairol Zaman.

Selain posisi perejam, posisi lain dijangka tidak akan menyaksikan banyak perubahan dengan pemain tonggak, Syahir Rosdi, akan mengemudi bahagian tekong.

Bagaimanapun, mereka kini masih menanti pengumuman rasmi daripada pihak tertinggi PSM dalam masa terdekat.