Sukan SEA Hanoi: Said Ezwan dibelenggu ACL 

Oleh Shaiful Shamsudin 8 April 2021 941
 Sukan SEA Hanoi: Said Ezwan dibelenggu ACL 
Hasrat tekong utama negara, Said Ezwan Said De, untuk membuat penampilan ketiga dalam Sukan SEA Vietnam 2021 lebur selepas mengalami kecederaan lutut 'ACL' buat kali pertama, minggu lalu.

Said Ezwan tidak percaya perlu mengharungi detik sukar saat dia meletakkan impian besar untuk membantu rakan sepasukan meraih kejayaan di Hanoi, November depan. 

"Ketika kejadian, latihan hampir berakhir jadi badan sudah letih.

"Ketika cuba menyepak bola, kaki saya sudah tidak kuat lalu tersentak. Seperti ada pergeseran di lutut ketika itu jadi ia memberi kesan kepada badan hingga mengundang masalah.

"Saya akan menjalani pembedahan di Universiti Putra Malaysia (UPM ) dalam beberapa hari ini," katanya ketika ditemui wakil Astro Arena, Syakirah Zulkifly.




Ketika ini, skuad takraw kebangsaan sudah mula menjalani sesi pemilihan pemain untuk dipertaruhkan dalam temasya edisi ke-31 itu. 

Dalam tempoh yang singkat, Said Ezwan masih berharap dia mampu pulih sebelum sesi kelayakan seterusnya.

Apatah lagi, pemain berusia 24 tahun itu dalam momentum terbaik selepas menamatkan saingan Liga Sepak Takraw (STL) 2020 bersama Penang Black Panthers, Disember lalu.

Sukan SEA Filipina dua tahun lalu menyaksikan skuad takraw lelaki negara hanya berpuas hati membawa pulang dua pingat perak menerusi acara regu dan regu berpasukan.

"Saya rasa agak sedih tetapi cuba untuk pulih. 

"Hasrat untuk banggakan Malaysia dan keluarga sangat tinggi."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen