Lima acara akan menentukan hala tuju Malaysia dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dengan Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo, mencabar atlet negara untuk membolot 15 pingat emas yang ditawarkan sebelum upacara pembukaan temasya, 19 Ogos depan.

Renang berirama dan sepak takraw akan menawarkan emas pertama Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Turut menawarkan pingat sebelum upacara pembukaan ialah polo air, memanah dan olahraga dengan Malaysia pasti lebih bangga untuk membuka tirai temasya selaku pendahulu kutipan pingat keseluruhan.

Ia cabaran yang dilontarkan kepada kontinjen negara yang diketuai chef-de-mission, Datuk Marina Chin, dalam memastikan Malaysia bergelar juara keseluruhan.

"Renang berirama dan sepak takraw menawarkan dua pingat emas pada hari kedua kejohanan, diikuti memanah pada hari ketiga.

"Kami berharap ketiga-tiga sukan ini akan memulakan pungutan pingat emas kita," kata Beng Choo,

Pada kebiasaannya, tuan rumah merangka strategi untuk mendominasi sebanyak mungkin emas sebelum acara pembukaan untuk kekal sebagai pendahulu kejohanan.

Ini merupakan kali ketiga Malaysia tampil sebagai tuan rumah, termasuk Sukan SEAP. Pada edisi 2001, Malaysia berjaya muncul juara keseluruhan.

MOM turut berpuas hati dengan persiapan temasya apabila semua venue pertandingan sudah ditetapkan.

"Kami memantau kesemua venue pertandingan yang boleh dikatakan mengalami penambahbaikan selain memastikan venue itu sesuai dan juga memastikan segala aspek berjalan dengan lancar."