Selepas acara double dan chinlone, sukan sepak takraw kini mengalami evolusi apabila satu acara baru diperkenalkan, iaitu quadrant, dan ia mula membuahkan hasil apabila Malaysia memenangi emas ketika Kejohanan Piala Raja Thai di Bangkok, bulan lalu.

Acara quadrant diperkenalkan oleh Malaysia pada tahun ini dan akan dipertandingkan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Sama seperti acara sepak takraw yang lain, acara quadrant menggunakan peraturan yang sama. Bezanya, sesiapa sahaja di kalangan empat pemain boleh menjadi tekong, apit kanan mahupun apit kiri.

"Dalam kalangan empat pemain itu akan terdiri daripada dua orang perejam manakala salah seorang daripadanya akan memainkan peranan utama.

"Perejam utama ini akan ditugaskan dalam situasi yang sukar. Bagi bola mudah, kami akan mevariasikan rejaman," terang pemain quadrant negara, Muhammad Kamal Ishak.

Quadrant mungkin masih lagi asing buat peminat tempatan, namun dengan kejayaan menggondol emas ketika Piala Raja Thai di Bangkok bulan lalu, ia menjadi pembakar semangat buat pemain-pemain untuk terus mempopularkan sukan berkenaan.

"Kami telah memenangi pingat emas di Piala Raja Thai dalam acara quadrant.

"Justeru, kami tidak boleh berdiam diri. Kami akan terus fokus dalam kejohanan akan datang," ujar seorang lagi tonggak quadrant negara, Norhafizi Abdul Razak.