Sukan SEA 2017: Acara sepak takraw berdepan pengharaman ekoran isu doping

Oleh Shaiful Shamsudin 26 November 2016 67
  Sukan SEA 2017: Acara sepak takraw berdepan pengharaman ekoran isu doping
Ketua Unit Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS), Nishel Kumar, memberi amaran kepada pemain dan jurulatih yang tidak menghiraukan arahan penggantungan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) boleh mengakibatkan acara itu diharamkan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. 

Kes doping enam pemain dan tiga pegawai Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) makin rumit apabila ISTAF memberi amaran lebih keras. 

ISTAF dalam kenyataan medianya tidak membenarkan mereka yang terbabit daripada menyertai mana-mana kejohanan, termasuk Liga Sepak Takraw (STL) yang sedang berlangsung. 

Mereka juga perlu menjawab surat pertuduhan ISTAF sebelum 6 Disember depan selepas didakwa enggan menjalani ujian doping dalam Kejohanan Dunia Piala Raja Thai di Bangkok, bulan lalu. 

"ISTAF telah memberi tempoh selama 14 hari untuk PSM menjelaskan perkara ini. 

"Itu menunjukkan bahawa mereka masih berpeluang untuk membela atlet-atlet ini, mungkin mereka boleh mengatakan telah berlakunya salah faham. 

"Tapi perkara ini telah melanggar peraturan anti doping. Mungkin ISTAF akan mengambil tindakan disiplin, itu saya tidak pasti.

"Saya takut ia akan mengganggu proses 14 hari yang diberikan," kata Nishel. 

Kegagalan mengikut arahan akan menyebabkan hukuman lebih berat, termasuk membabitkan PSM.

Keengganan menjalani ujian doping menyalahi Perkara 2.3 Kod Agensi Anti Doping Dunia (WADA) dan boleh digantung selama empat tahun jika didapati bersalah. 

Justeru, pemain dan jurulatih terbabit dinasihatkan supaya fokus terhadap proses siasatan atau Malaysia akan berputih mata untuk memburu lima pingat emas sepak takraw lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen