Sukan Asia: Persiapan jadi keutamaan skuad takraw negara

Oleh Penulis Jemputan 19 November 2017 906
Sukan Asia: Persiapan jadi keutamaan skuad takraw negara
Pasukan negara tidak gentar dengan apa jua keputusan yang bakal diputuskan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) berhubung penyenaraian acara bagi Sukan Asia Indonesia 2018 yang dikhabarkan tidak memihak kepada Malaysia.

Indonesia menggunakan kelebihan sebagai tuan rumah Sukan Asia 2018 dengan hanya menyenaraikan tiga acara bagi sukan sepak takraw, iaitu regu berpasukan, double berpasukan serta quadrant.

Indonesia unggul merangkul perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dalam regu berpasukan dengan mengetepikan Malaysia.

Namun, kem Malaysia mengambil pendekatan untuk fokus terhadap persiapan sendiri.

“Kami akan akur dengan setiap keputusan yang bakal diputuskan. Tugas kami adalah memastikan berada pada tahap terbaik bagi menghadapi Sukan Asia,” kata jurulatih skuad negara, Abdul Talib Ahmad.

Edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan menyaksikan tiga acara disenaraikan, iaitu antara regu, berpasukan dan doubles, dengan Malaysia membawa pulang sekadar dua gangsa. 

Talib kini dalam penilaian memilih muka baru bagi menyarung jersi negara, dengan Kejohanan Piala Raja Thai, Disember ini menjadi penutup kalendar 2017 buat skuad kebangsaan. 

“Selepas tamat saingan Liga Sepak Takraw (STL), kami akan menghadapi Kejohanan Piala Raja Thai. Pemain-pemain yang menyinar dalam STL akan dipilih untuk mewakili negara,” katanya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen