STL: Warriors terus di tangga tercorot

Oleh Penulis Jemputan 8 Oktober 2017 1470
STL: Warriors terus di tangga tercorot
Kelantan Warriors terus terperosok di dasar Liga Sepak Takraw (STL) selepas mengalami kekalahan ketiga dalam empat perlawanan, kali ini di tangan ATM Guardians 18-21, 13-21 di Stadium Tertutup MPSJ, Serdang Jaya, hari ini.

Guardians, pasukan di kelompok pertengahan, mempertaruhkan trio diketuai tekong Azwari Ishak dan diapit Norfaizzul Razak dan Khairudin Adenan.

Sementara itu, Warriors mempertaruhkan harapan kepada Hisyam Mat selaku tekong serta apit kanan, Aiman Azwawi, dan apit kiri, Hafizi Maarof.

Pada set pertama, seperti dijangka ia berlangsung sengit memandangkan Warriors memerlukan kemenangan selepas mengambil kira kedudukan dalam liga.

Bagaimanapun, Guardians kekal utuh pada penghujung set untuk merampas kemenangan 21-18, sekaligus meletakkan tekanan ke atas Warriors.

Terbukti, situasi itu menghalang wakil Kelantan itu daripada menampilkan aksi sebenar sebelum dipaksa akur tewas pada set kedua 21-13.

Keputusan lain menyaksikan Kuala Lumpur Thunder menang 22-20, 21-17 ke atas Johor Tigris manakala Selangor Pistons menewaskan Perak Bison 23-21, 21-14.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen