Kelantan Warriors bangkit segera daripada kekecewaan tewas kepada Perak Bison untuk mengalahkan PDRM Defenders 2-1 dalam aksi menarik Liga Sepak Takraw (STL) di Gem In Mall, Cyberjaya, malam tadi.

Warriors yang kembali menurunkan pelibas muda, Naim Izani Mohd Noor, untuk bergandingan dengan tekong import, Apirak Promanee, dan apit kiri negara, Aidil Aiman Azwawi, menang 21-13 dalam set pertama.

Bagaimanapun, Defenders melalui servis kencang tekong kebangsaan, Syahmi Hussin, bangkit dalam set kedua 21-15 untuk mengheret perlawanan ke set ketiga.

Kombinasi servis padu Apirak dan variasi pukulan Naim berjaya memberi kemenangan 21-10 kepada Warriors, sekali gus melonjak ke tangga keempat carta liga.

Pengurus Kelantan Warriors, Ahmad Syazwan Muhammad Hassan, gembira dengan tindak balas segera pemainnya selepas kalah mudah kepada Perak untuk mencatat kemenangan kesembilan liga.

"Kami bermula dengan yakin, mengemaskan pertahanan dan membiarkan pasukan lawan melakukan kesilapan.

"Biarpun Defenders berjaya memenangi set kedua, kami tidak goyang dan berjaya memberi tekanan kepada mereka untuk menang dalam set penentuan," tambahnya.

Syazwan juga mengingatkan pemain supaya terus meningkatkan persembahan jika berhasrat mahu berada dalam kelompok terbaik liga.

"Kami memiliki empat perlawanan lagi yang cukup mencabar sebelum liga ini berakhir.

"Insya-Allah, jika pemain kekal fokus dan sentiasa meningkatkan kualiti permainan, harapan Warriors berada dalam kelompok terbaik liga pasti tercapai," tambahnya.

Kemenangan ke atas Defenders itu membolehkan Warriors naik satu anak tangga ke tempat keempat di belakang Black Panthers, Bison dan Guardians dengan 18 mata.