STL: Warriors terasa kehilangan Naim

Oleh Farizal Yusoff 20 Oktober 2019 1915
STL: Warriors terasa kehilangan Naim
Saingan yang dijangka sengit bertukar hambar apabila Kelantan Warriors tewas mudah 2-0 kepada Perak Bison dalam aksi Liga Sepak Takraw (STL) di Gem In Mall, Cyberjaya, malam tadi.

Warriors yang menurunkan tekong, Apirak Promanee, untuk bergandingan dengan pelibas berpengalaman, Yuslie Jusoh, dan apit kiri negara, Aidil Aiman Azwawi, gagal memberikan cabaran sengit dan tumpas straight set 21-16, 21-7.

Pengurus Kelantan Warriors, Ahmad Syazwan  Muhammad Hassan, mengakui ketiadaan pelibas utama, Naim Izani Mohd Noor, dan kehebatan variasi servis tekong import Bison, Nattawhut Naewprom, menjadi faktor pemisah kedua-dua pasukan.

"Kami gagal menyerap tekanan dan kehilangan apit kanan (Naim Izani) akibat kecederaan tangan memburukkan lagi keadaan.

"Biarpun memberi aksi melawan dalam set pertama, kelonggaran pertahanan kami dalam set kedua jelas dihukum sepenuhnya oleh Bison," ujarnya.

Syazwan juga mahukan pemainnya kembali fokus dalam aksi ke-14 liga menentang PDRM Defenders, malam ini.

"Satu lagi aksi sukar untuk Warriors kerana Defenders juga dahagakan kemenangan selepas kalah mengejut kepada Sabah Mountaineers malam tadi," tambahnya.

"Kami perlu bertenang, lupakan kekalahan dan cuba bangkit segera memburu kemenangan untuk mengukuhkan kedudukan dalam carta liga."

Kekalahan malam tadi meletakkan Warriors di tangga kelima liga dengan 16 mata selepas 13 perlawanan manakala Bison tampil sebagai pendahulu baru STL dengan 20 mata.

Kredit Foto: STL
 

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen