Keinginan untuk beraksi dalam Piala Juara-Juara Liga Sepak Takraw (STL) menjadi motivasi terbaik buat Kelantan Warriors yang akan turun menentang juara bertahan, Penang Black Panthers, di Stadium Indera Mulia, Ipoh hari ini.

Warriors, yang menang 2-1 ke atas Black Panthers dalam pusingan pertama, dijangka mengekalkan regu utama yang diketuai tekong import, Apirak Promanee.

Pengurus Warriors, Ahmad Syazwan Muhammad Hassan, yakin pemainnya cukup bersemangat untuk terus mencipta kejutan ketika lawan itu sedang dilanda kontroversi hebat.

"Lupakan kontroversi di luar gelanggang yang menimpa Black Panthers. Kami perlu fokus kepada permainan sendiri untuk memburu kemenangan.

"Persiapan menghadapi minggu terakhir STL cukup baik dan semua permain cergas sepenuhnya untuk beraksi menentang juara bertahan itu.

"Kami perlu menang untuk berada dalam kelompok empat pasukan teratas jika berhasrat untuk beraksi dalam Piala Juara-Juara bulan depan," katanya.

Ahmad Syazwan juga mahu pemainnya meningkatkan aspek komunikasi di dalam gelanggang dan cuba mengurangkan kesilapan mudah yang boleh memberikan kelebihan kepada lawan.

"Black Panthers pasti menurunkan tekong kebangsaan, Said Ezwan Said De, yang memiliki servis kencang untuk bergandingan dengan Azlan Alias.

"Kami perlu kuatkan pertahanan dan menyerang melalui variasi servis Apirak dan libasan padu Naim Izani.

"Harap-harap semua peminat Warriors dapat turun ke Ipoh untuk menyokong perjuangan kami," ujarnya.

Untuk rekod, Warriors menduduki tempat kelima dengan 20 mata hasil 10 kemenangan manakala Black Panthers kekal mendahului dengan 22 mata.

Kredit Foto: STL