STL: Warriors harap variasi servis daripada Apirak

Oleh Farizal Yusoff 25 Oktober 2019 1366
STL: Warriors harap variasi servis daripada Apirak
Kelantan Warriors mahu terus menggunakan kekuatan servis tekongnya, Apirak Promanee, ketika turun menentang Kuala Lumpur Thunder dalam Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium Indera Mulia, Ipoh hari ini.

Pengurus Warriors, Ahmad Syazwan Muhammad Hassan, yakin variasi servis Apirak mampu mengucar-ngacirkan benteng pertahanan Thunder untuk memburu kemenangan ke-10 dalam liga musim ini.

"Setakat ini, servis Apirak banyak memberi mata kepada kami. Harap-harap dia akan terus konsisten untuk memecah benteng lawan yang diketuai apit kiri kebangsaan, Amirul Zazwan Amir.

"Kami perlu berhati-hati kerana Thunder juga mahu mendapatkan mata penuh untuk memperbaiki kedudukan dan mencabar kelompok teratas liga," katanya.

Sementara itu, pelibas muda Warriors, Naim Izani Noor, mengesahkan dirinya sudah pulih sepenuhnya dan bersedia menampilkan aksi terbaik jika diturunkan.

"Alhamdulillah, berkat doa semua pihak, kecederaan ini semakin pulih dan saya tidak berasa sebarang kesakitan ketika melakukan libasan.

"Harap semua peminat Warriors terus turun ke Ipoh untuk menyokong perjuangan kami di sini," ujarnya.

Untuk rekod, Warriors menduduki tangga keempat dengan 18 mata hasil sembilan kemenangan manakala Thunder di tangga keenam dengan 12 mata.

Kredit Foto: STL

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen