Selepas tumpas kepada Kuala Lumpur Thunder, Kelantan Warriors terpaksa bekerja keras untuk menumbangkan pasukan tercorot, Sabah Mountaineers 2-0 dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL), malam tadi.

Warriors yang menurunkan tekong import kelahiran Thailand, Sahakan Suiyang, yang menggantikan Apirak Promanee, bergandingan dengan pelibas muda, Wan Naim Izani Mohd Noor dan Aidil Aiman Azwawi, berjaya memenangi set pertama 21-16.

Biarpun regu kendalian Malai Efendy Malai Mohammad itu cuba bangkit dalam set kedua dengan mengheret perlawanan ke mata dius, namun Warriors tetap tenang untuk menang 23-21.

Pengurus Kelantan Warriors, Ahmad Syazwan Muhammad Hassan, berpuas hati dengan persembahan pemainnya yang tidak mudah panik biarpun ditekan hebat Mountaineers di hujung permainan.

"Alhamdulillah, rezeki tetap berpihak kepada kami biarpun pasukan lawan sudah berkira-kira untuk bermain dalam set penentuan.

"Ada dua lagi perlawanan yang wajib kami menangi minggu depan untuk berada dalam kelompok terbaik untuk layak bertanding dalam Piala Juara-Juara STL, Disember nanti," katanya.

Kemenangan ke atas Mountaineers itu membolehkan Warriors kekal di tangga keempat liga dengan 20 mata hasil 10 kemenangan manakala Mountaineers terus terperosok di dasar liga dengan hanya dua mata.