Perak Bison menghadapi minggu ketiga yang sibuk apabila akan bermain tiga perlawanan dalam kempen Liga Sepak Takraw (STL) 2019 di Stadium MABA, mulai esok.

Selepas beraksi empat kali, masing-masing dua di minggu pertama dan kedua, Bison menghadapi ujian getir kerana akan bertemu PDRM Defenders esok, diikuti Kuala Lumpur Thunder (Sabtu) dan Kelantan Warriors (Ahad).

"Ini ujian sebenar kepada pemain Bison kerana berdepan pencabar hebat dan bermain setiap hari," kata ketua jurulatih, Ismi Hissan Ismail.

Kuala Lumpur menduduki kedudukan ketiga, Kelantan keenam dan PDRM Defenders (8).

Justeru, Ismi berharap anak buahnya bersedia untuk mengharungi perlawanan minggu ini yang pasti menuntut persembahan terbaik daripada setiap pemain.

"Pemain Perak perlu berada dalam keadaan cukup bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menentang ketiga-tiga pencabar ini," ujarnya.

Perak setakat ini meraih dua kemenangan dan tumpas dua kali untuk mengutip empat mata bagi menduduki kedudukan ketujuh liga 10 pasukan itu.

Ismi berpuas hati dengan persembahan pemain setakat ini kerana telah mempamer aksi memberangsangkan dalam empat perlawanan.

"Mereka sudah mencuba sedaya-upaya dalam setiap perlawanan.

"Kalah menang adalah lumrah. Kita kena terima ketentuan takdir," katanya.