STL: Turtles, Thunder catat kemenangan

Oleh Azizan Hashim 25 Oktober 2019 1746
STL: Turtles, Thunder catat kemenangan
Hasrat Terengganu Turtles untuk mencatat kemenangan bagi memperbaiki kedudukan dalam Liga Sepak Takraw (STL) terlaksana apabila menundukkan Negeri Sembilan Antlers di Stadium Indera Mulia, Ipoh hari ini.

Turtles yang menduduki tangga kesembilan mencatatkan kemenangan 2-1 dalam perlawanan pertama minggu ketujuh itu.

Begitupun, kejayaan itu tidak hadir dengan mudah buat trio Turtles yang terpaksa berhempas-pulas selama 65 minit untuk merekodkan kemenangan ketiga mereka.

Kemantapan gandingan Nor Azman Abdul Hamid (tekong), Hasmadi Wahab (pengumpan) dan Phutawan Sopa (perejam) adalah faktor kejayaan Turtles.

Walaupun gandingan Antlers, Wirawut Na Nongkhai, Syazreenqamar Salehan dan Khairol Zaman Akhbar, berusaha keras, mereka tidak terdaya menyekat kemenangan lawan.

Begitupun, kekalahan itu tidak menjejaskan kedudukan Negeri Sembilan di tangga ketujuh.

Dalam satu lagi perlawanan, Kuala Lumpur Thunder menafikan impian Kelantan Warriors untuk mengutip mata dengan kemenangan 2-0.

Gandingan Aizat Azmi, Amirul Zazwan Amir dan Norhafizi Razak mengambil masa sejam untuk mengatasi lawan 21-17, 21-19.

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen