Johor Tigris membuktikan kehebatannya apabila menumpaskan Kuala Lumpur Thunder 2-0 dalam Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium Indera Mulia, Ipoh sebentar tadi.

Thunder, yang cemerlang dalam saingan hari pertama, gagal mengulangi persembahan bertenaga mereka seperti yang dipamerkan ketika menumpaskan Kelantan Warriors semalam.

Sebaliknya, trio yang dibarisi Ahmad Aizat Azmi, Amirul Zazwan Amir dan Hanafiah Dolah itu tidak terdaya untuk menandingi gandingan lawan, Farid Aziz, Muqlis Borhan dan Noraizat Nordin.

Dalam perlawanan itu, kedua-dua pasukan saling mengejar mata dan bertarung sengit selama 63 minit.

Tigris, yang lebih segar kerana tidak beraksi semalam, menang set pertama 24-22.

Walaupun Thunder cuba bangkit dalam set kedua, mereka tidak terdaya untuk menyekat kemenangan kesembilan Tigris selepas tewas 18-21.