Siapa juara musim ketiga Liga Sepak Takraw (STL) 2016 Divisyen Perdana akan ditentukan antara Penang Panthers dan Kuala Lumpur Thunder, esok, selepas masing-masing menewaskan ATM Guardians 21-16, 15-21, 21-12 dan Terengganu Turtles 21-14, 21-14 dalam separuh akhir hari ini.

Lebih 3,000 hadirin di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor menyaksikan Panthers menepati statusnya sebagai pemenang peringkat awal liga, minggu lalu, manakala Thunder mencipta kejutan dengan menjinakkan Turtles yang pernah dianggap pilihan utama kerana tidak kalah 11 perlawanan pertama.

Panthers yang diwakili tekong, Syahir Rosdi, perejam, Azlam Alias, dan pengumpan, Zaim Razali, diheret sehingga 72 minit untuk mengesahkan tiket final dan meneruskan pemburuan ganjaran juara RM40,000 selepas menewaskan Guardians (Nazmi Najib/Hasman Che Hamid, Afifuddin Razali dan Norfaizzul Razak).

Kuala Lumpur Thunder melakar kejutan ke atas pasukan pilihan, Terengganu Turtles, dalam masa sejam aksi separuh akhir untuk mara ke perlawanan akhir Divisyen Perdana.

Thunder yang dibarisi pemain tekong, Farid Aziz, perejam, Hafiz Rahman/Zamree Dahan, dan pengumpan, Amirul Zazwan Amir, membuktikan saingan kalah mati bukan lagi seperti peringkat awal liga yang pernah dikuasai Turtles.

Kekalahan itu meninggalkan satu lagi peluang kepada Turtles yang dibimbing Vitthaya Boontha dari Thailand untuk merebut sagu hati RM10,000 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.

Perak The Bos Gaurus pula muncul pasukan pertama yang dinaikkan ke Divisyen Perdana 2017 apabila mudah menundukkan Selangor 21-9, 21-13 dalam separuh akhir Divisyen Satu STL terdahulu.

Aksi pembuka tirai peringkat kalah mati itu berakhir dalam tempoh 55 minit dan sama sekali jauh meleset daripada harapan ramai peminat, malah tidak lagi sesengit pertemuan peringkat awal liga mereka, 12 November lalu yang dimenangi Perak, 21-17, 19-21, 21-19.

Namun, Bos Gaurus yang memenangi pertemuan awal itu kali ini harus berterima kasih kepada tekong mudanya yang berusia 20 tahun, Meor Ahmad Zulfikar Mat Amin, dengan servis berbisanya mengutip banyak mata mudah untuk mara ke final.

Perak yang mendapat sokongan padu dengan kehadiran penyokongnya dengan beberapa bas kini akan membuat perhitungan muktamad siapa juara divisyen ini dengan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) A.

Regu kebangsaan itu (Idham Sulaiman/Said Ezwan Said De, Ridaudin Ghani/Noraizat Nordin dan Safarudin Abu Bakar) memenangi pertarungan sengit 90 minit dengan menumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 13-21, 21-18, 25-23.

Dua kad kuning turut dilayangkan terhadap Safarudin dan Idham dalam set penentuan kerana melengahkan permainan, namun itu tidak menghalang PSM A untuk menjinakkan Normanizam Ahmad, Shaifullah Nor dan Nazri Hafiz Najib.

Baki slot ke Divisyen Perdana masih perlu disahkan dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat hari ini antara Selangor dengan PDRM.

Ini kerana PSM A hanya beraksi sebagai pendedahan ke arah Sukan SEA Malaysia 2017.

Menurut jurulatih Bos Gaurus, Ismi Hissan Ismail,"Memang hari ini kami berjaya mendahului jauh lawan dengan servis Meor apabila dia menyumbangkan 12 mata mudah (tujuh dalam set pertama dan lima dalam set kedua.

"Mungkin Selangor kurang menjadi melalui tekongnya, Azman (Man Kuda) yang saya rasa terjejas akibat lontaran bola apit kanan (Shafirul/Najib)."

"Kami bukan sengaja melengahkan permainan, cuma pemain perlu berbincang bagi mendapatkan strategi terbaik pada saat genting set penentuan itu selepas beberapa kali terikat di mata penamat.

"Perak dalam prestasi baik hari ini sehingga dapat menumpaskan Selangor dengan mudah, tetapi kami juga berharap untuk bergelar juara divisyen dan saya jangkakan pertemuan esok sehebat peringkat awal liga di mana kami menang dengan tiga set," kata jurulatih PSM A, Mohd. Rashidi Nordin.


Keputusan separuh akhir STL Divisyen 1 hari ini:
Perak Bos Gaurus kalahkan Selangor (21-9, 21-13)
PSM A kalahkan PDRM (13-21, 21-18, 25-23)

Pusingan Separuh Akhir Liga Ekspres Perdana Sepak Takraw (STL) 2016:
Kuala Lumpur Thunder kalahkan Terengganu Turtles (21-14, 21-14)


Jadual esok:

Penentuan tempat ke-3 STL Divisyen 1:
Selangor lwn PDRM (4pm)

Pusingan akhir STL Division 1:
Perak Bos Gaurus lwn PSM A (8pm)