Dihantui kekalahan pertama musim ini, Terengganu Turtles mahu memastikan mimpi ngeri yang sama tidak akan berulang apabila berentap menentang Kuala Lumpur Thunder.

Selepas 11 perlawanan, kekebalan Tutrles dimusnahkan oleh Penang Black Panthers yang merekodkan kemenangan 2-1.

Meskipun tidak menjejaskan kedudukan mereka sebagai peneraju liga dan tiket ke separuh akhir, skuad Turtles mengakui moral mereka sedikit tercalar.

Kerana itu, mereka berazam untuk memastikan kemenangan dalam baki dua perlawanan 'round robin' yang akan bermula dengan aksi menentang Thunder pada malam ini.

"Kami akan melakukan perubahan dan kami akan mencuba untuk melakukan yang terbaik.

"Kami kecewa kerana gagal melakukan yang terbaik untuk Turtles ketika tewas kepada Panthers, Insya-Allah kami akan bangkit untuk memberikan aksi yang terbaik," kata apit kanan Terengganu Turtles, Muhammad Azwan Muhrim.

Sementara itu, Panthers enggan terus dibuai dengan kemenangan ke atas Turtles memandangkan mereka ada misi lebih besar untuk layak ke pentas final.

Baki perlawanan buat Panthers juga ibarat cabaran sengit memandangkan ATM Guardians dan Johor Tigris merupakan dua pasukan yang sedang merebut tempat untuk berada dalam kalangan empat skuad terbaik ke separuh akhir.

"Alhamdulillah, pasukan kami berjaya untuk menewaskan pasukan yang belum pernah tewas.

"Perlawanan pertama menentang Turtles, saya tidak dapat beraksi. Dalam aksi kali kedua, saya mendapat peluang dan saya melakukan sedikit-sebanyak kajian terhadap permainan mereka untuk mengetahui kelebihan dan kekurangan mereka," ujar apit kanan Panthers, Muhammad Zaim Razali.