Pasukan pilihan, Penang Black Panthers, meneruskan aksi konsisten dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) apabila membenam cabaran Selangor Pistons di Gem In Mall, Cyberjaya, sebentar tadi.

Turun selaku pasukan pilihan, Black Panthers membariskan dua pemain kebangsaan diketuai tekong, Syahir Rosdi dan Azlan Alias sambil dibantu Zaim Razali.

Gandingan Farhan Adam, Yushairil Amir dan Shafirul Nizam ternyata ketandusan idea dengan asakan dan corak permainan yang pelbagai diperagakan lawan dengan set pertama memihak wakil utara itu 21-15.

Pertukaran taktikal dilakukan anak buah Amri Bakar dalam set kedua membuahkan hasil buat Black Panthers apabila berjaya mendahului 12-10.

Kedua-dua pasukan berusaha untuk mencari kemenangan dalam set ini, namun servis deras Syahir menjadi kelebihan buat Black Panthers untuk merakamkan kemenangan 21-18.