Penang Black Panthers membuka tirai Liga Sepak Takraw League (STL) Premier 2018 dengan langkah kanan setelah menewaskan Melaka Titans dalam aksi pertama bagi menjulang Piala Sumbangsih di Kompleks Gem In Mall, Cyberjaya, sebentar tadi.

Juara dua musim berturut-turut itu yang diperkuatkan tekong dan apit kanan kebangsaan, Syahir Rosdi dan Azlan Alias, ternyata tidak berdepan masalah melakar kemenangan mudah 2-0 (21-12, 21-14) ke atas Melaka Titans yang merupakan juara STL Divisyen Satu musim lalu.

Servis bertenaga Syahir dan rejaman padu Azlan, yang merupakan anggota pasukan regu emas Sukan Asia Jakarta-Palembang, dilihat terlalu ampuh untuk disaingi Melaka Titans yang dibarisi Sahidan Ali, Zarlizan Zakaria dan Asyraaf Zawawi.

“Ia satu permulaan positif dan kemenangan ini adalah kerana kami menunjukkan semangat sepasukan yang tinggi, masing-masing memainkan peranan dengan cukup baik dan kami berharap ian memberi suntikan bagi mengharungi baki aksi bagi minggu ini,” ujar Azlan.

Tatkala kemenangan meletakkan Black Panthers selaku pendahulu hari pertama STL Premier, mereka turut memenangi hadiah wang tunai RM3,000 selaku juara Piala Sumbangsih yang kemudian disampaikan kepada Ma’had Tahfiz Al-Quran Kasyfu Al-Ulum.