STL: Shohibul terkilan gagal bantu Perak Bison

Oleh Hairi Yahaya 12 Oktober 2017 865
STL: Shohibul terkilan gagal bantu Perak Bison
Jelas terpancar kekecewaan buat Shohibul Fadillah Abd Salam kerana gagal meneruskan perjuangan Perak Bison dalam saingan Liga Sepaktakraw (STL) di Stadium Tertutup Serdang Jaya (MPSJ), Selangor, setelah dilanda kecederaan ligamen pergelangan kaki tahap satu.

"Sedih kerana tidak dapat bantu pasukan. Saya harap rakan seperjuangan teruskan momentum. Itu sudah mengubat kekecewaan saya.

"Saya juga berasa lega dan percaya pengganti saya mampu menggalas tugas dengan baik," ujarnya.

Kecederaan yang dialami Shohibul mengambil masa sekurang-kurangnya dua bulan untuk sembuh sepenuhnya. Ini bermakna dia juga mungkin terpaksa melupakan STL musim ini dan pemilihan mewakili negara dalam Piala Dunia ISTAF yang dijadualkan bulan depan.

"Itulah. Namun saya tidak akan berputus asa. Untuk STL, saya tetap di belakang Perak Bison dan harapan mewakili negara tidak akan pernah padam," katanya lagi.

Shohibul sudah berjinak dengan sukan sepak takraw seawal usia 10 tahun dengan mewakili Perak dalam Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) dan Sukan Malaysia (Sukma) pada 2012 dan 2014 manakala di peringkat tertinggi, dia digelar arkitek Perak dalam menggondol gelaran juara STL Div 1, tahun lalu.

Tentang Penulis

Hairi Yahaya

Komen