Hajat Kelantan Warriors mahu mengejutkan juara bertahan, Penang Black Panthers, dalam perlawanan ketiga Liga Sepak Takraw (STL) berkecai apabila tewas 1-2 di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, malam tadi.

Kelantan yang menurunkan Mohamad Hasman Che Hamid (tekong), Aidil Aiman Zawawi (apit kiri) dan Mohamad Aiman Fouzi (apit kanan) bermula baik apabila mendahului 17-11.

Pada kedudukan itu, Penang Black Panthers membuat dua pertukaran memasukkan tekong kebangsaan, Mohd Syahir Rosdi dan apit kanan, Mohd Azlan Alias, dengan mengeluarkan Mohd Fazil Asry dan Kamal Ishak.

Biarpun menang set pertama 21-14, namun Kelantan Warriors terpaksa akur dengan kehebatan servis Syahir dan rejaman berbisa Mohd Azlan apabila kalah mudah dalam dua set berikutnya 15-21 dan 11-21.

Ketua jurulatih Kelantan Warriors, Mohd Rozi Abdul Rahman, menyifatkan kegagalan anak buahnya menangani servis kuda Syahir menjadi punca kekalahan kedua berturut-turut Kelantan.

“Kami menang mudah set pertama sebelum Pulau Pinang membuat pertukaran permain untuk kembali bangkit.

“Kemasukkan Syahir memang banyak memberi masalah kepada sistem pertahanan kami dan akibatnya Kelantan terpaksa akur tewas dua set berikutnya,” katanya.

Mohd Rozi, 44, yang juga jurulatih skuad Sukan Malaysia (Sukma) Kelantan, mahu pemainnya cepat melupakan kekalahan malam tadi dan bersedia untuk menghadapi satu lagi perlawanan sukar bertemu ATM Guardians, petang esok.

“Lupakan kekalahan malam tadi dan kami akan memberi fokus sepenuhnya untuk mencari kemenangan ke atas ATM Guardians,” katanya.