STL: saya pilih Penang Black Panthers dan Terengganu Turtles ke final -- Jamaluddin

Oleh Staff Writer 17 Disember 2016 16
STL: saya pilih Penang Black Panthers dan Terengganu Turtles ke final -- Jamaluddin
Jurulatih Johor Tigris, Jamaluddin Hassan memilih dua pasukan pilihan, Penang Black Panthers dan Terengganu Turtles untuk beraksi di pentas final dengan syarat tidak memandang rendah keupayaan ATM Guardians dan Kuala Lumpur Thunder dalam saingan menarik separuh akhir Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor, malam ini.

“Berdasarkan prestasi konsisten kedua-dua pasukan dalam aksi STL musim ini, tidak syak lagi Penang Panthers dan Terengganu Turtles akan mara ke final menewaskan lawan masing-masing malam ini.

“Lagipun, kedua-dua pasukan hanya tewas dua kali sahaja sepanjang liga berlangsung dan pengalaman yang dimiliki oleh pemain mereka menjadi kelebihan utama untuk mengatasi cabaran getir ATM Guardians dan Kuala Lumpur Thunder,” katanya.

Jamaluddin yang juga bekas jurulatih kebangsaan memberi ingatan kepada dua pasukan pilihan itu supaya tidak terlalu yakin kerana di peringkat kalah mati ini pasukan underdog (bukan pilihan) akan mempamerkan aksi terbaik untuk mencipta kejutan terbesar.

“ATM Guardians dan Kuala Lumpur Thunder sudah membuktikan kenapa mereka patut dihormati dengan kejayaan melayakkan diri ke separuh akhir. Pemain mereka juga berpengalaman dan tidak mudah mengaku kalah.

“Saya jangkakan satu perlawanan yang sengit dan sukar kerana keempat-empat pasukan akan cuba untuk mencipta sejarah kejuaraan. Pasukan yang gagal menangani tekanan dan sering melakukan kesilapan mudah akan berputih mata,” katanya.

Untuk rekod, aksi separuh akhir Divisyen Perdana malam ini akan mempertemukan Juara Liga, Penang Panthers menentang Juara Bertahan, ATM Guardians manakala pasukan di tangga kedua liga, Terengganu Turtles diundi menentang Kuala Lumpur Thunders.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen