Sabah Mountaineers mengalami kekalahan ke-12 dalam Liga Sepak Takraw (STL) 2019 selepas tunduk kepada Kuala Lumpur Thunder 2-0 dalam aksi yang berlangsung di Gem In Mall, Cyberjaya hari ini.

Kekalahan tersebut merupakan kemuncak kepada prestasi buruk Sabah dalam saingan STL kali ini.

Mereka tampak belum bersedia untuk berdepan pasukan-pasukan dari Semenanjung seperti Terengganu Turtles, apatah lagi Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur tidak menghadapi masalah sepanjang permainan, dengan gandingan Norhafiz Razak selaku perejam, tekong, Aizat Azmi, dan juga Amirul Zazwan (apit kiri) memenangi set pertama 21-18.

Sabah cuba bangkit dalam set kedua melalui Jaxon Amputong, Daut Amba dan juga Mohamad Kahar, namun gagal menyaingi Kuala Lumpur.

Kesilapan demi kesilapan lawan menyaksikan Kuala Lumpur menang 21-15, sekali gus menyaksikan Sabah merekodkan kekalahan ke-12.