Hajat Perak Bison memburu kemenangan kelima lebur apabila tumpas 1-2 (21-16, 19-21 dan 10-21) kepada juara bertahan, Penang Black Panthers, dalam Liga Sepak Takraw (STL) di Gem in Mall, Cyberjaya, malam tadi.

Perak Bison menurunkan tekong muda, Heppy Itam, apit kiri, Shohibul Fadillah Abd Salam dan pelibas, Amirul Ramadhan Fazillah Suhaimi, manakala Penang Black Panthers mempertaruhkan tekong Sukan Asia 2018, Said Ezwan Said De, perejam utama, Muhammad Kamal Ishak, dan apit kiri, Muhammad Zaim Razali.

Dalam set pertama, kombinasi mantap trio Perak Bison melalui libasan kencang perejam muda, Amirul Ramadhan, memerangkap permainan untuk menang 21-16.

Skuad Pulau Mutiara yang dibimbing Helmi Ismail membawa masuk tekong nombor satu negara, Syahir Rosdi, dan Azlan Ismail untuk menang 21-19 dan mengheret pertarungan ke set penentuan.

Dalam aksi set ketiga, servis kencang Syahir dan libasan padu Azlan terus memacu Penang Black Panthers untuk merakamkan kemenangan ketujuh, sekaligus menghimpit ATM Guardians dan Kuala Lumpur Thunder di persada liga.

Jurulatih Perak Bison, Ismi Hissan Ismail, memuji aksi yang ditampilkan pemainnya sambil mengakui sedikit kesilapan yang dilakukan terutama di penghujung set kedua menghancurkan hajat mencipta kejutan.

"Alhamdulillah, pemain bermain mengikut apa yang dirancang. Bukan rezeki kami untuk mencipta kejutan apabila sering melakukan kesilapan mudah di hujung set kedua.

"Akibatnya, Penang Black Panthers mula bangkit dan langsung tidak memberi peluang kepada kami dlam set penentuan," katanya.

Ismi Hissan mahukan pemainnya melupakan kekalahan malam tadi, sebaliknya bersedia menghadapi satu lagi pertarungan sukar bagi menamatkan pusingan pertama, petang nanti.

"Kami akan bertemu dengan Kelantan Warriors dan saya jangka satu perlawanan yang menarik kerana kedua-dua mahu menang untuk mendaki carta liga STL," katanya.