ATM Guardians mencipta sensasi dalam aksi hari keenam Liga Sepak Takraw (STL) Premier 2018 setelah melakar kejutan besar dengan menewaskan pendahulu liga, Penang Black Panthers, 2-0 di Gem In Mall, Cyberjaya, hari ini.

Kemenangan 21-17, 21-18 yang diraih menerusi gandingan trio Hairul Hazizi Haidzir, Afiffudin Razali dan Norfaizzul Abd Razak menyaksikan ATM Guardians mengekalkan rekod bersih menang kesemua empat perlawanan dan tanpa tewas dalam sebarang set.

Bagi Penang Black Panthers yang menurunkan trio berbisa Syahir Rosdi, Zaim Razali dan Azlan Alias, kekalahan itu meleburkan rekod tanpa kalah mereka yang sebelum ini unggul mencatat empat kemenangan berturut-turut.

Hairul Hazizi nyata cukup teruja dan menyifatkan ia sebagai satu bonus buat ATM Guardians kerana mereka turun beraksi tanpa sebarang tekanan dan tidak meletakkan harapan tinggi untuk mencatat kemenangan dalam aksi tersebut.

“Memang tidak sangka sebenarnya boleh menewaskan Black Panthers, apatah lagi dengan straight set, kerana kami tahu mereka pasukan pilihan dan sangat kuat," katanya.

“Sasaran kami yang sebenar adalah memberi tentangan sengit dan menyajikan satu perlawanan yang menghiburkan kepada penonton tetapi rezeki memihak kami.

“Kembalinya Afifudin ke dalam skuad juga menjadikan pasukan kami dapat menyerang dengan lebih baik. Dalam masa sama, kami kekal fokus, sabar dan tenang dalam menyerap segala asakan serta menggagalkan setiap serangan mereka, terutama menerusi Azlan dan juga servis Syahir."

Sementara itu, jurulatih Black Panthers, Helmi Ismail, berkata kekalahan itu membuka ruang kepada pasukannya untuk mengenal pasti kelemahan dan berpendapat belum ada sebab untuk berasa panik.

“Memang kami sudah menjangka saingan akan bertambah mencabar kerana minggu awal banyak pasukan belum serasi dan sesuaikan diri dengan keadaan gelanggang. Bagi saya, kalah pertama kali bukanlah satu isu, perjalanan masih jauh dan kami akan bekerja keras untuk tampil lebih kuat selepas ini,” ujar Helmi.

Tamat minggu kedua saingan, ATM Guardians kekal sebagai satu-satunya pasukan yang belum tewas dan melonjak sebagai pendahulu baru STL Premier.

Dalam aksi lain, rekod tanpa kalah Kuala Lumpur Thunder yang menang kesemua empat perlawanan sebelum ini turut lebur setelah mereka tewas 0-2 kepada Kelantan Warriors.

KL Thunder berpeluang untuk mengambil alih kedudukan pendahulu jika menang, namun gandingan Aizat Azmi, Amirul Zazwan Amir dan Norhafizi Abdul Razak tewas mudah 15-21, 12-21 kepada trio Farid Aziz, Aidil Aiman Azwawi serta Wan Naim Izani Wan Noor.

Aksi lain menyaksikan Johor Tigris diketuai Muqlis Borhan diheret beraksi tiga set sebelum menghadiahkan Terengganu Turtles kekalahan ketiga berturut-turut menerusi kemenangan 2-1 (21-18, 17-21, 21-19) manakala PDRM Defenders mencatat kemenangan kedua dengan menewaskan Selangor Pistons 2-1 (21-10, 17-21, 21-10).

Keputusan (13 Oktober) :

PDRM DEFENDERS 2 SELANGOR PISTONS 1
21-10, 17-21, 21-10

ATM GUARDIANS 2 PENANG BLACK PANTHERS 0
21-18, 21-17

JOHOR TIGRIS 2 TERENGGANU TURTLES 1
21-18, 17-21, 21-19

KELANTAN WARRIORS 2 KL THUNDER 0
21-15, 21-12