Selangor Pistons muncul juara Divisyen 1, Liga Sepak Takraw (STL) selepas menundukkan Pahang Mammoth 2-0 di Stadium Indera Mulia, Ipoh hari ini.

Gandingan Yusyairil Amir Yusof, Farhan Adam dan Hafiz Rahman menumpaskan trio Salim Sa'id, Aleff Helmie Musa dan Ariff Mohammad 21-15, 21-12 untuk merangkul gelaran itu.

Dalam perlawanan kedua-dua pasukan itu, yang akan beraksi dalam Divisyen Premier tahun depan, Pistons mengambil masa 64 minit untuk mengatasi lawan.

Pistons memenangi set pertama dalam tempoh 22 minit tetapi mengambil masa 42 minit untuk menamatkan cabaran lawan itu dalam set kedua.