Penang Black Panthers sudah bersedia untuk terus mengungguli saingan Sepaktakraw League (STL) musim 2017 apabila memenangi Piala Sumbangsih dengan mengatasi juara divisyen satu musim lalu, Perak Bison, di Stadium MPSJ Serdang Jaya, malam ini.

Kedua-dua pasukan mengambil sedikit masa pada permulaan aksi apabila memerlukan setengah jam untuk menamatkan set pertama dengan keputusan 22-20 yang berpihak kepada Penang Black Panthers yang turut diterajui tekong negara, Syahir Rosdi.

Namun, Penang Black Panthers gagal mengekalkan rentak apabila tewas mudah 21-4 dalam set kedua. Mereka menjelmakan aksi sebenar dalam set penentuan dan seterusnya mengesahkan kemenangan 21-12.

"Kami mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri.

"Atas kesilapan yang banyak dilakukan khususnya saya telah membenarkan Perak untuk mendahului dan seterusnya memenangi set kedua.

"Oleh itu, selepas ini kami perlu memperbaiki lagi semua aspek," kata apit kiri Penang Black Panthers, Zaim Razali.

Dalam satu lagi pertembungan menyaksikan pendatang baru dari divisyen satu, Selangor Pistons, tunduk kepada Johor Tigris, 2-1 (15-21, 21-19, 15-21.)