Saingan Liga Sepak Takraw (STL) 2020, yang akan membuka tirainya bulan depan, mula menyaksikan pergerakan perpindahan pemain dari satu pasukan ke satu pasukan yang lain.

Ia memperlihatkan betapa mungkin sudah sampai masanya untuk sistem perpindahan pemain dalam saingan itu berubah kepada sesuatu yang lebih mirip dalam saingan bola sepak profesional.

Dalam satu temu bual bersama Azlan Mubin dalam segmen PM Bersama AM hari ini, apit kiri Selangor Pistons, Farhan Adam, berpendapat sistem perpindahan itu dapat memastikan setiap pemain menjaga kualiti mereka sendainya mahu dipikat oleh kelab lain.

"Sudah tiba masanya untuk sepak takraw, terutama STL, memperuntukkan setiap pasukan perlu mempunyai kontrak mengenai pembayaran apabila pemain mahu berpindah ke pasukan lain.

"Dengan itu, pemain akan lebih menjaga kualiti permainan mereka kerana mungkin ada kelab lain yang lebih bagus berminat untuk mendapatkan mereka," katanya.

Kertua jurulatih Johor Tigris, Ahmad Jais Baharun, turut bersependapat dengan menambah: "Zaman sudah berubah, jadi prosedur pengurusan pasukan sepak takraw juga sepatutnya mengikut arus.



"Dahulu, kalau kita lihat, proses untuk mendapatkan pemain agak berbeza berbanding sekarang.

"Cuma daripada segi proses dokumentasi, kebanyakan pemain terikat dengan majikan masing-masing di setiap negeri masing-masing.

"Jadi, ia sedikit sebanyak akan menyukarkan pemain untuk berpindah ke pasukan lain kerana ia melibatkan cuti dan sebagainya.

"Apabila sukan sepak takraw dapat dipertingkatkan sekurang-kurangnya kepada (liga) separa profesional, mungkin perkara seperti itu dapat diselesaikan dengan cara yang lebih baik," katanya.