The Bos Gaurus terus mengintai peluang untuk menjadi antara empat pasukan terbaik, sekaligus melangkah ke separuh akhir Liga Sepaktakraw STL Divisyen 1 yang sedang berlangsung di Stadium Tertutup Serdang Jaya (MPSJ) Selangor.

Menurut jurulatih Perak, Ismi Hissan Ismail, peluang kini terbuka setelah pasukannya berjaya memenangi empat perlawanan sebelum tewas kepada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) minggu lalu.

"Perak mampu untuk terus bersaing. Minggu ini sangat penting apabila bertemu Sabah dan Sarawak.

"Jika menang, tekanan akan berkurangan, terutama bila bertemu pasukan kuat seperti Negeri Sembilan," kata Ismi.

"Semasa menentang PSM B, pemain hilang fokus walaupun suatu ketika berjaya melebarkan kedudukan 9-0 dalam set kedua tapi akhirnya tewas 'tie break' 25-23.

"Mungkin rezeki tidak menyebelahi kami," tambahnya.

Sementara itu, ketua pasukan, Nor Shahidan Masri, menyeru rakan-rakannya agar bangkit dan mempamerkan aksi terbaik.

"Kemenangan ini pasti menyemarakkan lagi azam dan keyakinan kami."

Perak akan bertemu Sabah dan Sarawak minggu ini sebelum menentang Labuan, Negeri Sembilan dan Putrajaya tujuh hari kemudian bagi melengkapkan jadual divisyen 1.