Prestasi Perak Bison dalam Liga Sepak Takraw (STL) Premier 2018 ternyata jatuh mendadak dan boleh dianggap sebagai sedikit mengecewakan penyokong mereka jika dibandingkan dengan musim lalu.

Pada musim lalu, Perak Bison yang berstatus pendatang baru, mencuri tumpuan ramai apabila memberikan tentangan sengit dalam perebutan kejuaraan sebelum akhirnya berpuas hati menduduki tempat ketiga, namun kali ini nasib mereka berbeza.

Memasuki minggu akhir saingan, Perak Bison ketika ini menghuni tangga keenam dengan 14 mata hasil daripada tujuh kemenangan dan mereka perlu untuk setidak-tidaknya mengakhiri saingan dengan kekal di kedudukan tersebut jika tidak mahu terlepas slot bermain dalam Piala Juara-Juara STL.

Hanya enam pasukan teratas STL Premier dan dua pasukan Divisyen Satu layak untuk menyertai Piala Juara-Juara STL yang akan berlangsung bulan depan.

Justeru, Perak Bison yang merupakan naib juara pertandingan ini musim lalu, menyasarkan kemenangan dalam baki dua aksi menentang Kelantan Warriors esok dan PDRM Defenders, Ahad ini, untuk mengesahkan tempat mereka.

"Kami dihambat dengan masalah kecederaan tekong utama (Meor Zulfikar Amin) dan kepenatan. Itu satu punca prestasi beberapa pemain tidak di tahap terbaik dan menyebabkan saya kerap kali terpaksa menukar gandingan dan menggunakan pemain-pemain berbeza.

“Saya yakin kami sudah berjaya menyelamatkan diri daripada penyingkiran, jadi perjuangan kami sekarang adalah untuk memburu tempat dalam Piala Juara-Juara.

“PDRM Defenders dan Terengganu Turtles sedang mengejar kami dan mereka juga sudah tentu mempunyai misi sama.

"Jarak kami tidak jauh, jadi saya anggap ia sebagai pertarungan tiga penjuru antara Perak Bison dan dua pasukan ini dan kami tidak boleh melakukan kesilapan atau akan berputih mata,” kata jurulatih, Ismi Hissan Ismail.

Satu kelegaan buat Ismi adalah Perak Bison akhirnya kembali ke landasan kemenangan dengan menewaskan Johor Tigris dan Melaka Titans minggu lalu selepas terdahulu menunjukkan prestasi buruk mengalami empat kekalahan berturut-turut.

“Kami kembali mendapat keyakinan dan saya harap momentum ini dapat diteruskan pada minggu terakhir ini.

"Kelantan Warriors bukan lawan mudah, begitu juga dengan PDRM Defenders, tetapi jika kami bermain tanpa tekanan, saya percaya kami boleh tewaskan sesiapa sahaja,” tambahnya lagi.

Sementara itu, PDRM Defenders yang berada di tangga ketujuh dengan turut mengumpul 14 mata, akan terlebih dahulu berdepan Johor Tigris esok sebelum menentang Perak Bison, Ahad ini, manakala pasukan tangga kelapan, Terengganu Turtles, pula berdepan KL Thunder dan akan menutup tirai musim 2018 dengan menentang Kelantan Warriors.