STL: Perak Bison perlu satu lagi kemenangan

Oleh Azizan Hashim 21 November 2018 1071
STL: Perak Bison perlu satu lagi kemenangan
Aksi bertenaga pada minggu keenam dituntut daripada pemain Perak Bison bagi menghasilkan penyudah baik dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) 2018 di Gem In Mall, Cyberjaya, hujung minggu ini.

Pengurus Perak Bison, Mohd Jaffrey Mohd Zainol, berharap pemain akan mempamerkan persembahan bertenaga seperti ketika menentang Johor Tigris dan Melaka Titans minggu lalu dalam dua baki perlawanan berdepan PDRM Defenders dan Kelantan Warriors, Sabtu dan Ahad ini.

"Kami perlukan satu lagi kemenangan daripada dua baki perlawanan untuk memastikan kedudukan betul-betul selamat.

"Jika memenangi kedua-dua perlawanan, kami berpeluang memperbaiki kedudukan dalam liga.

"Justeru, saya berharap barisan pemain dapat mengekalkan momentum setelah mendapat kembali rentak dan keyakinan minggu lalu, " katanya.

Sehubungan itu, Jaffrey berharap trio Bison yang terdiri daripada Yus Hanif Rosli, Fadhil Mustapha dan  Azwan Muhrim  'menjadi' dalam kedua-dua perlawanan nanti.

Jaffrey berkata sasaran Bison ialah melayakkan diri ke Piala Juara-Juara STL di mana mereka adalah naib juara bagi edisi tahun lalu.

Enam pasukan teratas STL serta dua pasukan teratas Divisyen Satu akan berentap dalam Piala Juara-Juara itu.

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen