Perak Bison meneruskan episod kemenangan apabila menundukkan Selangor Pistons 21-4, 16-21, 21-12 dalam Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, hari ini.

Kedua-dua pasukan turun dengan keyakinan tinggi selepas melakar kemenangan dalam perlawanan terdahulu. Selangor cemerlang mengejutkan Kelantan Warriors manakala Perak pula menewaskan Johor Tigris.

Perak yang dibarisi Meor Zulfikar, Izham Idris dan Amirul Hisham berdepan regu Selangor, Sufi Hashim, Muqlis Burhan dan Ali Alhamidi.

Dalam set pertama, Perak cemerlang dengan corak permainan yang cukup meyakinkan untuk menang mudah 21-4.

Selepas itu, Selangor kembali memperkemaskan permainan dengan memasukkan bekas pemain kebangsaan, Norsharudin Ghani, dan ia memberi kesan sehingga dapat menyamakan kedudukan, dengan kemenangan 21-16 dalam set kedua, sekaligus mengheret ke perlawanan penentuan.

Menyedari kebangkitan Selangor, jurulatih Perak, Ismi Hissan Ismail, membuat dua pertukaran dengan membawa masuk tekong, Yus Hanif Rosli, dan perejam, Fadzil Mustapa.

Keberkesanan Fadzli memang tidak dapat disangkal lagi apabila rejaman kemasnya membolehkan Perak meraih keputusan 21-12 untuk kemenangan ketujuh, sekali gus memanjat ke kedudukan kedua liga.