STL: Perak Bison mahu ulangi kejayaan atasi PDRM Defenders

Oleh Azizan Hashim 23 November 2018 231
STL: Perak Bison mahu ulangi kejayaan atasi PDRM Defenders
Pengurus Perak Bison, Mohd Jaffrey Mohd Zainol, berharap pasukan itu mampu mencatat kejayaan kedua ke atas PDRM Defenders dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) 2018 di Gem In Mall, Cyberjaya, esok.

Dalam pertemuan pertama, Bison bangkit daripada kekalahan set pertama untuk merakam kejayaan 19-21, 21-18, 21-11, bulan lalu.

"Pertemuan itu sengit tetapi pemain menunjukkan perwatakan mantap untuk bangkit dalam set kedua dan penentuan.

"Saya berharap mereka mampu mengulanginya," katanya.

Selepas bangkit merakam kemenangan ke atas Johor Tigris dan Melaka Titans minggu lalu, Mohd Jaffrey, berharap pemain mampu mengulangi aksi bertenaga, malam esok.

Menurut Jaffrey, Bison memerlukan kemenangan bagi memastikan mereka kekal dalam STL serta mengelak bermain dalam tekanan apabila bertemu Kelantan Warriors, Ahad ini.

"Kami perlukan satu kemenangan daripada baki dua perlawanan untuk memastikan kedudukan yang betul-betul selamat.

"Jika kami memenangi kedua-dua perlawanan minggu ini, Bison berpeluang menduduki kedudukan empat terbaik.

"Justeru, saya berharap pemain Bison meneruskan momentum setelah mendapat kembali rentak dan keyakinan, minggu lalu," katanya lagi.

Sehubungan itu, pengurus itu berharap trio Bison yang terdiri daripada Yus Hanif Rosli, Fadhil Mustapha dan  Azwan Muhrim akan memberikan persembahan terbaik dalam kedua-dua perlawanan nanti. 

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen