Perak Bison melaungkan amaran mahu menjadi pencabar terkuat dengan meletakkan sasaran muncul tiga pasukan terbaik, sekaligus mara ke saingan Juara Liga Sepak Takraw (STL), musim ini.

Tahun lalu, Perak Bison mempamerkan aksi terbaik sehingga muncul naib johan Piala Juara STL apabila tumpas kepada Penang Black Panters 0-2 dalam final. Dalam saingan liga pula, mereka menduduki tangga ketiga.

Mengekalkan pemain muda yang berkualiti sambil dibantu apit kiri Terengganu musim lalu, Azwan Muhrim, dan apit kanan, Firdaus Mohamad, Perak Bison dijangka mampu merealisasikan hajat tersebut.

Ketua jurulatih Perak Bison, Ismi Hissan Ismail, yakin persediaan yang dibuat biarpun tanpa pemain utama sebelum STL bermula, sudah memadai untuk skuad itu turun menentang Kuala Lumpur Thunder dan Selangor Piston.

"Dua pemain utama, Muhammad Fadzil (Mustapha) dan Muhammad Azwan (Muhrim) terlibat dengan Kejohanan Piala Raja Thai baru-baru ini dan kami pula mengharungi perlawanan persahabatan lima penjuru yang diatur bersama ATM dan Akademi Sepak Takraw Batu Kurau (ASTAB).

"Biarpun tidak menjalani latihan bersama (Azwan dan Fadzil), saya yakin pengalaman yang ada mampu mereka gunakan untuk membentuk keserasian.

"Untuk musim ini, kami menyasarkan untuk muncul dalam kedudukan tiga terbaik STL dan layak ke Piala Juara," katanya.

Ismi yang berjaya membawa Perak menjuarai Piala Emas Khir Johari (PEKJ) di Kota Bharu, Julai lalu, menuntut fokus pemainnya untuk mengutip mata penuh dalam aksi pertama menentang Kuala Lumpur Thunder, petang ini.

"Kami beri fokus kepada satu persatu perlawanan.

"Tidak ada sebarang tekanan kepada pemain dan harap mereka nikmati aksi pertama STL.

"Kemenangan pertama cukup penting untuk meningkatkan moral pemain," katanya.