STL: Perak Bison mahu atasi Selangor Pistons pula

Oleh Farizal Yusoff 3 November 2018 414
STL: Perak Bison mahu atasi Selangor Pistons pula
Selepas mengejutkan Kuala Lumpur Thunder 2-1 (22-20, 17-21, 21-19) malam tadi,  Perak Bison mahu terus memburu kemenangan apabila turun menentang Selangor Pistons dalam aksi minggu kedua Liga Sepak Takraw (STL) di Gem in Mall, Cyberjaya, malam ini.

Perak Bison yang dahagakan kemenangan menurunkan apit kanan terbaik, Mohd Fadzil Mustapha, Azwan Muhrim dan tekong, Heppy Itam manakala KL Thunder mempertaruhkan tekong, Aizat Azmi, pelibas utama, Norhaffizi Razak, dan apit kiri, Amirul Zazwan Amir.

Dalam set pertama, servis kencang Heppy menjadi senjata utama untuk mengejutkan KL Thunder 22-20.

KL Thunder, yang tumpas 2-0 kepada Terengganu Turtles, minggu lalu, membaiki permainan dan melalui servis kencang Aizat, menang 21-17 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Dalam set penentuan, libasan terakhir Norhaffizi tersangkut di jaringan untuk membolehkan Perak Bison menang 21-19.

Jurulatih Perak Bison, Ismi Hissan Ismail, mengakui rezeki berpihak kepada pasukannya biarpun KL Thunder meningkatkan asakan di penghujung perlawanan.

"Alhamdulillah, pemain masih mampu bertenang di hujung permainan biarpun KL Thunder makin mengejar.

"Lupakan kemenangan ini kerana kami harus bersedia untuk menghadapi satu lagi lawan sukar, Selangor Pistons, malam nanti," katanya.

Ditanya strategi yang bakal digunakan untuk memerangkap skuad Merah Kuning, Ismi Hissan menjelaskan mereka akan beraksi dengan semangat tidak mudah menyerah kalah sebagaimana yang ditunjukkan ketika menentang KL Thunder.

"Tidak ada sebarang strategi istimewa, sebaliknya semua pemain perlu memberikan aksi lebih baik dan perlu mengurangkan sebarang kesilapan yang boleh memberikan mata mudah kepada lawan," katanya.

Ismi Hissan yang membawa Perak menjuarai Kejohanan Piala Emas Khir Johari (PEKJ) di Kota Bharu, Julai lalu, berpuas hati dengan sumbangan Heppy dan pelibas muda, Amirul Ramadhan Fazillah.

"Biarpun masih baru dan mentah dalam saingan STL, Heppy dan Amirul mampu menjadi pemain yang baik jika mempunyai disiplin dan terus meningkatkan kualiti permainan," katanya.

Kemenangan ke atas KL Thunder akan membolehkan Perak Bison melonjak ke tangga kelima liga dengan 10 mata manakala KL Thunder kekal di tangga ketiga dengan 14 mata.


 

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen