STL: Perak Bison keluar daripada zon penyingkiran

Oleh Farizal Yusoff 17 November 2018 1205
STL: Perak Bison keluar daripada zon penyingkiran
Perak Bison kembali menemui sentuhan kemenangan apabila mudah mengalahkan Johor Tigris 2-0 (21-17, 21-17) dalam Liga Sepak Takraw (STL) di Gem In Mall, Cyberjaya, malam tadi.

Sedar hanya kemenangan mampu membawa mereka keluar daripada zon penyingkiran, Perak Bison menurunkan tekong, Yus Hanif Rosli, apit kiri, Azwan Muhrim dan pelibas, Fadzil Mustapa.

Johor Tigris yang dibimbing bekas tekong kebangsaan, Ahmad Jais Baharom, terus memberi kepercayaan kepada trio Azman Abdul Hamid, Noraizat Nordin dan kapten, Muqlis Borhan.

Dalam set pertama, kedua-dua regu saling terikat mata sebelum servis drop Yus Hanif berjaya membawa Perak Bison mendahului 16-14 sambil Johor Tigris meminta 'time-out' untuk merancang semula strategi.

Tekong Johor Tigris, Azman, melakukan servis yang tersangkut di jaring untuk memberikan kemenangan 21-17 buat Perak Bison dalam masa 23 minit.

Dalam aksi set kedua, Johor Tigris kembali meningkatkan serangan untuk mencari kemenangan bagi mengheret permainan ke set penentuan.

Malangnya, libasan padu Fadzil terus memacu Perak Bison mendahului 15-14.

Tekong, Yus Hanif, muncul wira malam tadi apabila dua servis cantiknya membawa Perak Bison menang 21-17. 

Jurulatih Perak Bison, Ismi Hissan Ismail, memuji aksi yang ditampilkan barisan pemainnya sambil mengakui rezeki berpihak kepada pasukan itu biarpun Johor Tigris meningkatkan asakan di penghujung set kedua.

"Alhamdulillah, pemain bermain mengikut apa yang dirancang.

"Rezeki kami untuk menang perlawanan ini.

"Kami kini bersedia untuk menentang Melaka Titans," katanya.

Terdahulu, Penang Black Panthers kembali menerajui liga apabila mudah mengalahkan Kuala Lumpur Thunders 2-0 (21-16, 21-16) untuk mengumpul 24 mata, dua mata mengatasi pencabar terdekat, ATM Guardians, yang akan turun menentang PDRM Defenders, petang ini.

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen