STL: Perak Bison harap Syahir tidak menjadi

Oleh Farizal Yusoff 9 November 2018 1158
STL: Perak Bison harap Syahir tidak menjadi
Selepas tewas 2-0 kepada juara bertahan, Penang Black Panthers, dalam pusingan pertama, Perak Bison berjanji untuk mengukuhkan pertahanan bagi memberi saingan yang lebih hebat kepada lawan dalam aksi Liga Sepak Takraw (STL) di Gem in Mall, Cyberjaya, malam ini.

Sedar lawan yang bakal ditentang bukan calang-calang pasukan, ketua jurulatih Perak Bison, Ismi Hissan Ismail, berulang kali mengingatkan pemainnya supaya sentiasa bersedia dengan servis pertama tekong nombor satu negara, Syahir Rosdi.

"Jumpa Black Panthers nanti, kami perlu memantapkan sistem pertahanan pasukan. Biarpun berulang kali diingatkan, kesilapan masih berlaku kerana Syahir bijak menggunakan variasi servisnya.

"Kami dikalahkan agak mudah dalam pusingan pertama tapi kali ini kami mahu memberikan cabaran lebih sukar kepada juara bertahan itu. Kami juga berharap servis Syahir tidak menjadi malam ini," katanya.

Ismi Hissan yang berjaya membawa Perak menjuarai Piala Emas Khir Johari (PEKJ) di Kota Bharu, Julai lalu, masih berteka-teki mengenai pemain yang bakal diturunkan malam ini.

"Biar jadi rahsia dahulu dan kami akan turunkan pemain yang cergas sepenuhnya dan mampu memberi cabaran yang kuat kepada Penang Black Panthers," katanya.

Ditanya prestasi tekong muda Perak Bison, Heppy Itam dan Yus Hanif Rosli,  Ismi Hissan mahu kedua-duanya terus meningkatkan kualiti servis bagi memberi saingan kepada regu lawan.

"Setakat ini, mereka (Heppy dan Yus Hanif) beraksi dengan baik dan saya harap mereka terus berjuang demi lencana di dada," katanya.

Untuk rekod, Perak Bison berada di tangga keenam liga dengan 10 mata hasil lima kemenangan manakala skuad kendalian Helmi Ismail itu di tempat kedua dengan 18 mata, dua mata di belakang pendahulu, ATM Guardians.
 

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen