Kelemahan tekong semasa servis adalah faktor yang menjejaskan pencapaian Perak Bison dalam kempen Liga Sepak Takraw (STL) 2018.

Selepas sembilan perlawanan, Bison menang empat dan kalah lima kali untuk mengutip lapan mata dan berada di kedudukan keenam liga 10 pasukan itu.

Ketiadaan tekong utama, Meor Mohamad Zulfikar Mat Amin, akibat kecederaan menyebabkan Bison pincang dalam sembilan perlawanan pusingan pertama.

Berikutan itu, pasukan bimbingan jurulatih, Ismi Hissan Ismail, itu terpaksa bergantung kepada Yus Hanif Rosli.

Bagaimanapun Yus Hanif nyata gagal memikul tugas berat selaku tekong utama Bison setakat ini.

Berdasarkan persembahan ketika menentang Kelantan Warriors, Ahad lalu, pemain itu melakukan banyak kesilapan semasa servis, menyebabkan Bison tumpas 1-2. Keadaan sama juga berlaku semasa menentang Penang Black Panthers, Sabtu lalu.

"Masalah tekong adalah penyebab utama menjejaskan pencapaian kami setakat ini.

"Kami berharap ia akan berakhir dalam pusingan kedua bermula esok," kata penolong pengurus Perak Bison, Roaznizam Aziz.

Bison akan memulakan kempen pusingan kedua itu bertemu Kuala Lumpur Thunder esok, diikuti Selangor Pistons (Sabtu) dan ATM Guardians (Ahad).

Menurut Roaznizam, walaupun Bison mendapat khidmat tekong muda, iaitu Heppy A/L Itam, pemain itu belum bersedia untuk menghadapi suasana perlawanan sebenar.

"Dia perlukan masa untuk mengatasi kegugupan dan perasaan gemuruh.

"Saya yakin jika mendapat keyakinan dan rentak, dia akan dapat memberi sumbangan bermakna, " ujarnya.

Walaupun Bison menduduki tangga keenam ketika ini, penolong pengurus Bison itu yakin Perak mampu berada dalam kelompok empat teratas di akhir saingan nanti.