Perak Bison berhajat memburu kemenangan ketujuh dan kali ini mahu menjadikan Melaka Titans sebagai mangsa dalam minggu ketujuh, Liga Sepak Takraw (STL) di Gem In Mall, Cyberjaya, petang ini.

Namun, pemain Perak Bison yang masih segar dengan kemenangan 2-0 ke atas Johor Tigris, tidak mahu terlalu yakin dan memandang rendah keupayaan Melaka Titans biarpun lawan mereka kini berada di dasar liga.

Ketua jurulatih, Ismi Hissan Ismail, mahu pemainnya mengulangi aksi menarik melawan skuad Harimau Selatan petang kelmarin sambil membuang sikap terlalu yakin apabila menentang Melaka Titans kerana apa sahaja boleh berlaku dalam permainan sepak takraw.

"Biarpun mereka berada di dasar liga, Melaka Titans perlu dihormati kerana memiliki pemain muda yang baik dan mampu membuat kejutan.

"Tambahan pula, mereka (Melaka Titans) baharu saja mengejutkan Terengganu Turtles 2-0 dengan kualiti permainan yang cukup mantap," katanya.

Ismi Hissan turut menyifatkan variasi servis yang dimiliki tekong muda negara, Sahidan Md Ali, sebagai tunjang kekuatan Melaka Titans.

"Jangan lupa kebolehan yang ada pada pelibas muda, Muhammad Asyraaf Zawawi, banyak memberi masalah kepada pertahanan lawan.

"Saya yakin, Melaka Titans ingin memburu kemenangan ketiga dan sudah pasti pertemuan petang ini cukup mencabar kepada kami," katanya.

Untuk rekod, Perak Bison berada di tangga ketujuh liga dengan 12 mata hasil daripada enam kemenangan manakala Melaka Titans terperosok di dasar liga dengan empat mata sahaja.