Perak Bison terus cemerlang di minggu ketiga apabila menewaskan Johor Tigris 2-1 dalam aksi Liga Sepak Takraw (STL) yang mendebarkan di Stadium Tertutup Serdang Jaya (MPSJ), Selangor.

Menutup perlawanan dengan kiraan 21-16, 17-21, 22-20, skuad kendalian jurulatih, Ismi Hissan Ismail, itu juga terpaksa membayar harga lebih mahal apabila apit kanan Amirul Ramadhan Fazillah Suhaimi dilanda kecederaan.

"Amirul tidak dapat melakukan pendaratan baik selepas memukul bola kerana berlanggar dengan jurugambar. Akibatnya dia mengalami kecederaan ketika mendahului 20-14 dalam set pertama.

Dia digantikan oleh Muhammad Fazil Mustapa yang kita tahu tidak begitu cergas sepenuhnya. Namun, saya puji pemain. Dengan semangat juang tinggi, mereka dapat menjinakkan Johor," ujar Ismi.

Kini, jurulatih berpengalaman ini sedang mencongak siapa yang akan bergandingan dengan Meor Mohd Zulfikar Mat Amin dan Muhammad Izham Muhamad Idris untuk menentang Terengganu Turtles, petang esok.

"Sebelum ini, apit kiri, Shohibul Fadillah Abd Salam, cedera. Kini situasi Amirul pula tidak dapat dipastikan.

Namun, saya yakin ada jalan."