Penang Black Panthers membuktikan mereka berada dalam kelas tersendiri selepas mengungguli kategori Perdana saingan Liga Sepak Takraw (STL) 2016 dengan menewaskan Kuala Lumpur Thunder 21-15, 21-10 di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, malam ini.

Black Panthers turun selaku pilihan dalam pertemuan itu berikutan kedudukan pertama yang diraih dalam saingan liga sebelum ini.

Gandingan Syahir Rosdi, Zaim Razali dan Azlan Alias menjadi taruhan Black Panthers dalam mengekang asakan Thunder.

Set pertama berlangsung dengan momentum yang baik apabila kedua-dua pasukan cuba mencari ruang untuk memaksa lawan membuat kesilapan.

Tuah lebih memihak kepada Black Panthers apabila permainan kemas ditunjukkan Azlan memastikan mereka menang set pertama 21-15.

Memasuki set kedua, mula timbul keresahan di kem pasukan Thunder untuk cuba menyekat Black Panthers.

Bagaimanapun, lawan terus menyerlah, khususnya servis mengelirukan oleh Syahir, untuk memberikan mata mudah buat Black Panthers.

Hasilnya, Black Panthers menamatkan set kedua dengan kemenangan 21-10 untuk memastikan kejuaraan milik mereka.

Sementara itu, Perak merangkul kejuaraan Divisyen Satu selepas mengatasi cabaran Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) A 21-18, 21-18.

Membariskan trio Zulfikar Amin, Shohibul Salam dan Fadzil Mustafa, Perak bagaimanapun, menerima tentangan hebat lawan.

Set pertama berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan saling berbalas kutipan mata.

Begitupun, Perak lebih unggul apabila menamatkan pertemuan pertama menerusi kemenangan 21-18.

Kisah sama berlaku dalam set kedua dengan gandingan PSM A, Idham Sulaiman, Safaruddin Abu bakar dan Ridandin Ghani, mempamerkan tentangan lebih bertenaga.

Perak, bagaimanapun, sukar digugat dan hasilnya mereka memperoleh kemenangan 21-18 untuk mengesahkan gelaran juara Divisyen Satu.

Keputusan

Penentuan tempat ketiga Divisyen Satu STL:
Selangor mn PDRM 17-21, 21-8, 21-12.

Penentuan tempat ketiga Liga Ekspres Perdana STL:
ATM Guardians mn Terengganu Turtle, 21-12, 24-22.

Pusingan akhir STL Divisyen Satu STL:
Perak Bos Gaurus mn PSM A 21-18, 21-18.

Pusingan akhir Ekspres Perdana STL:
Penang Black Panthers mn Kuala Lumpur Thunder 21-15, 21-10.